Pemuda PAS Kluang

Wednesday, July 26, 2006



Pesuruhjaya PAS Johor, Dato' Dr. Hj. Mahfodz bin Hj. Mohamed sedang menyampaikan ucapan beliau semasa Demonstrasi Aman Menghalang Kumpulan Artikel 11 yang mengadakan seminar di Hotel Selesa, Johor Bahru pada 22 Julai 2006 yang lalu.

Bukan soal Mahathir, PAS mahu selamatkan negara


Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa PAS tidak mengambil kira kepentingan bekas dan Perdana Menteri sekarang untuk menyelamatkan negara.Beliau menambah, PAS meletakkan kepentingan Islam untuk menyelamatkan negara ini yang mengatasi segala-galanya termasuk pertembungan antara Tun Mahathir Mohamad dengan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"PAS tidak kira siapa sama ada Mahathir atau Abdullah Badawi kerana yang penting, kita hendak menyelamatkan negara ini," ujar Presiden PAS itu ketika ditemui di rumahnya di Rusila.
Ini, katanya kerana negara telah dilanda dengan musibah politik, ekonomi, sosial dan lain-lain yang melahirkan pelbagai gejala kepada rakyat.
"Ini menjadi tanggungjawab kita untuk menyelamatkan negara dan kita mengajak semua pihak jangan hanya menjaga kepentingan diri masing-masing. Kita hendaklah meletakkan kepentingan Islam untuk menyelamatkan negara, mengatasi segala-galanya," ujarnya lagi.
Semasa ditanya apakah yang dijangkakan jika pertelagahan antara Mahathir dan Abdullah berlarutan, beliau berkata perkara yang akan datang berada dalam ilmu Allah SWT.
Tambahnya, manusia tidak tahu perkara yang berlaku pada masa akan datang.
"Apa yang kita buat ialah kita merancang, merangka strategi perjalanan parti kita dan yang penting untuk menyelamatkan negara kita tanpa mengira siapa," ujarnya lagi.
Beliau juga menjelaskan berhubung kesediaan PAS memaafkan bekas Perdana Menteri itu, keputusan PAS menghantar wakil ke majlis syarahan dan dialog dengan Mahathir pada 24 Jun lalu, hubungan dengan parti KeAdilan berikutan keputusan itu, kesediaan wakil PAS hadir jika Mahathir melakukan road show ke negeri-negeri dan lain-lain lagi.

Wednesday, July 19, 2006

Pesuruhjaya PAS Johor, Dato' Dr. Hj. Mahfodz bergambar bersama- sama beberapa orang pemimpin PAS Johor di luar Balai Polis Johor Bahru selepas laporan polis dibuat terhadap Kumpulan Artikel 11 yang akan mengadakan forum di sebuah hotel di Johor Bahru.

Monday, July 17, 2006

PAS Ucap Syabas Kepada Hizbullah, Hamas


KUALA LUMPUR, 17 Julai (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan syabas dan tahniah kepada Hizbullah dan Hamas kerana membangkitkan semangat umat Islam menentang keganasan Israel selepas mereka dikecewakan oleh kerajaan sekular di negara masing-masing.
Dalam kenyataan medianya kepada Harakahdaily sebentar tadi beliau berkata, PAS bersama dengan seluruh gerakan Islam sedunia memberikan sokongan padu kepada Hizbullah di Lubnan dan Hamas di Palestin yang bangkit berjihad menentang Israel.
"Insya Allah PAS dan gerakan Islam lain akan guna saluran politik dan berusaha dengan apa bentuk bantuan yang mampu dihulurkan, untuk memberikan sokongan moral sekurang-kurangnya, kepada saudara-saudara kita di Palestin dan Lubnan" ujar beliau.
Katanya, PAS mengharapkan peristiwa yang berlaku di Lubnan dan Palestin sebagai satu kebangkitan baru kepada umat Islam setelah mereka dizalimi dengan begitu rupa, khususnya dunia Barat tidak menerima gerakan Islam yang menang dalam pilihan raya melalui proses demokrasi.
Presiden PAS menegaskan, konflik terbaru di Asia Barat merupakan agenda Israel, pertamanya, untuk menggulingkan kerajaan Hamas yang menang dalam pilihan raya, setelah Hamas tidak dibantu oleh negara-negara OIC khususnya Liga Arab.
"Kedua, Israel berusaha untuk melucutkan kekuatan persenjataan Hizbullah dengan mencetus pergolakan politik di Lubnan.
"Kita mengharapkan kedua-dua agenda Israel ini gagal," tegas beliau.
Mengulas mengenai dakwaan Amerika Syarikat dan Israel bahawa Hizbullah dan Hamas dibantu Iran dan Syria, Presiden PAS menegaskan bahawa Israel terlebih dahulu mendapat bantuan daripada Amerika, Britain, Perancis dan beberapa negara Barat yang lain.
Tegasnya, "Tidak salah Iran atau Syria membantu Hizbullah dan Hamas. Bahkan wajib semua negara umat Islam membantu, jika tidak, menurut hukum Islam mereka akan menanggung dosa."
Menurut Ustaz Hadi, PAS melihat berlaku perbezaan ketara di antara pendapat umum umat Islam berbanding kerajaan umat Islam yang diterajui oleh golongan sekular.
"Umat Islam sedunia bersama-sama dengan Hizbullah dan Hamas, adapun kerajaan mereka berada dalam ketakutan dan terpinga-pinga.
"Kita mengharapkan kerajaan negara OIC, khususnya Liga Arab supaya bangkit dari tidur sebelum mereka dibangkitkan oleh rakyat masing-masing," tegasnya.
Sehubungan dengan itu, Presiden PAS mengarahkan Badan Perhubungan PAS negeri-negeri menggerakkan semua ahli PAS di seluruh negara, supaya melakukan solat hajat dengan qunut nazilah memohon pertolongan Allah khusus untuk saudara seislam di Palestin, Lubnan dan lain-lain.
"Hari Jumaat ini kita meminta PAS negeri-negeri untuk menganjurkan demonstrasi serentak selepas solat Jumaat di seluruh negara bagi menyatakan sokongan terhadap umat Islam di Palestin dan Lubnan," ujarnya.

Sunday, July 16, 2006

Mazlan Aliman, Naib Ketua Pemuda PAS mewakili YB. Ketua Pemuda PAS membuat sidang media berkaitan Isu Pelajar yang ditegah memakai serban ke sekolah yang telah didengar di Mahkamah Tinggi pada hari Rabu lepas. Pemuda PAS merasakan penghakiman bertulisnya yang menyatakan bahawa tafsirkan sebagai menghina dan memperleceh ajaran Islam khususnya Sunnah Rasulullah s.a.w. Pemuda PAS akan mengarahkan Pemuda PAS Negeri membuat satu laporan Polis keatas penghinaan tersebut.

MESTI BACA :Kumpulan Artikel 11 Cuba Mencabar Umat Islam Di Johor

Kenyataan Rasmi Yang Dikeluarkan Dewan Pemuda PAS Johor
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) ingin mempertegaskan bahawa sebarang usaha untuk mengadakan program yang bertujuan menghina Islam dan menghina undang-undang syariah secara langsung atau tidak langsung perlu dihentikan khususnya di negeri Johor kerana ia bakal mengundang perbalahan dan pertikaian sehingga memungkinkan perkara-perkara yang tidak diingin akan terjadiDPPNJ membuat kenyataan ini di atas sikap untuk memastikan bahawa agama Islam tidak diperlekehkan.

DPPNJ telah mendapat maklumat bahawa terdapat usaha-usaha yang sedang disusun oleh Kumpulan Artikel 11 iaitu kumpulan yang mengandungi 13 Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk mengadakan program yang pernah diadakan di Pulau Pinang pada 14 Mei 2006 yang lalu. Program ini telah mendapat bantahan secara besar-besaran di hadapan Hotel Cititel, Penang Road oleh Badan Anti Suruhanjaya Antara Agama – IFC (BADAI).
DPPNJ dimaklumkan bahawa program ini akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di Bandaraya Johor Bahru pada 22 Julai 2006 yang akan datang. Kehadiran Kumpulan Artikel 11 ini ke Johor membuktikan bahawa golongan ini langsung tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam. Bagi menangani perkara ini, DPPNJ akan cuba menggunakan setiap saluran diplomasi yang ada untuk memastikan program ini terbatal.

DPPNJ juga akan berusaha untuk membuat bantahan secara rasmi dan mendesak agar Jabatan Agama Johor serta Dato’ Nooh Bin Gadut selaku Mufti Negeri Johor menyatakan pendirian mereka dan seterusnya menghalang kumpulan Artikel 11 daripada meneruskan agenda mereka.

DPPNJ juga mendesak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Negeri Johor mengambil tindakan sewajarnya terhadap program ini. Terbukti bahawa ketika program ini diadakan di Pulau Pinang, tiada permit dikeluarkan oleh PDRM.DPPNJ bimbang sekiranya usaha secara diplomasi gagal untuk dicapai, umat Islam yang selama ini sangat bertolak ansur akan hilang pertimbangan sehingga menimbulkan perkara yang tidak diingini.
Sekian, wassalam
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830 /013-7257085

Tuesday, July 11, 2006


Kenyataan yang dibuat oleh Mufti Perak, Datuk Seri Harussani seperti yang dilaporkan dalam Harian Metro 11 Julai 2006. Syabas Datuk Seri Mufti kerana berani menyatakan kebenaran. Ketua Pengarah JAKIM segeralah berjumpa Mufti Perak untuk mendapatkan maklumat.

Thursday, July 06, 2006

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Hrkh) - PAS bersedia memaafkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, jika beliau ikhlas membuat pengakuan bersalah di atas semua dakwaan salahlaku terhadap beliau sebelum ini, lapor akhbar The Borneo Post dan Berita Harian edisi Sabah hari ini.
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dipetik sebagai berkata, bahawa Dr Mahathir banyak melakukan kesalahan terutamanya terhadap parti-parti pembangkang dalam tempoh lebih 22 tahun menjadi Perdana Menteri.
"Kami sudah tentu memaafkan beliau, jika beliau sedia mengakui kesalahan yang dilakukannya," kata Ustaz Hadi dalam sidang akhbarnya di Kota Kinabalu dalam lawatan beliau ke Sabah.
Beliau diiringi oleh Pesuruhjaya PAS Sabah, Haji Muhamad Abdullah dan timbalannya, Ladim Abdul Rahman.
Ustaz Hadi berkata, PAS sedia memaafkan sesiapa sahaja jika pengakuan dibuat dengan ikhlas, kerana sifat pendendam adalah dilarang dalam Islam.
"Sekiranya ikhlas, kita sedia memaafkan Dr Mahathir untuk kepentingan negara," katanya.
Menyentuh mengenai pertelagahan antara Dr Mahathir dengan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, beliau mengakui PAS mendapat manfaat politik dari situasi yang berlaku.
Katanya, sebagai sebuah parti politik PAS wajib mengambil kesempatan yang positif, bukan negatif daripada kemelut yang berlaku sekarang.
Presiden PAS menegaskan, kedua-duanya Mahathir dan Abdullah bertanggungjawab ke atas semua masalah yang menjejaskan negara dan mereka juga mesti membuat penjelasan yang terperinci kepada rakyat.
Menyentuh mengenai kehadiran wakil PAS ke majlis syarahan Mahathir di Taman Melawati 24 Jun lepas, Ustaz Hadi menegaskan, PAS sedia bekerjasama dan menjalinkan hubungan dengan semua pihak demi kepentingan negara.
Dalam sidang akhbar tersebut, Ustaz Hadi juga mengulas mengenai masa depan PAS Sabah yang semakin mendapat sokongan khususnya dari kalangan generasi muda dan golongan profesional.
Katanya, golongan muda memberikan respon yang baik terhadap kehadiran PAS di Sabah, khususnya dalam pilihan raya umum lepas, calon PAS tidak kehilangan wang pertaruhan dan mendapat pertambahan undi yang memberangsangkan.
Beliau berkata, PAS semakin bertapak di Sabah dan semakin mendapat sokongan masyarakat berbilang kaum di negeri tersebut.
"PAS boleh menang asalkan pilihan raya dijalankan dan media tidak dikongkong," kata beliau.

Wednesday, July 05, 2006

TAK HALAL ?

Tuesday, July 04, 2006

Baru- baru ini telah diadakan Ihitfal PASTI Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Pusat Tarbiyyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) Kota Bahru, Kelantan. Dalam pertandingan tersebut beberapa orang peserta dari Johor telah mengambil bahagian dalam acara Nasyid, Sajak, Becerita, Azan dan Hafazan. Seorang peserta dari PASTI Kluang iaitu Adik Afiq bin Azihuddin telah mendapat tempat ketiga dalam acara Azan. Beliau belajar di PASTI Al - Ukhuwwah 1, Taman Matahari.
Tahniah diucapkan kepada Adik Afiq dan guru - guru PASTI dari kawasan Kluang yang telah berusaha bersungguh- sungguh. Tahniah juga kepada murid PASTI dari kawasan Semberong yang telah mendapat Naib Johan dalam acara Nasyid dan seorang murid perempuan dari PASTI kawasan Parit Sulong yang telah mendapat tempat ketiga dalam acara Bercerita.