Pemuda PAS Kluang

Thursday, September 21, 2006

Program Putera Umno akibatkan maksiat - Mufti Perak

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Hrkh) - Program perhimpunan 50,000 Mat Rempit di Bukit Jalil yang akan diadakan oleh Putera Umno tidak sesuai dianjurkan kerana ia mendatangkan banyak masalah termasuk maksiat dan gejala tidak senonoh, kata Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria.

Malaysiakini melaporkan beliau berkata, program berkumpulan melibatkan lelaki dan perempuan terutama golongan remaja seperti mat rempit memang tidak sesuai dianjurkan.
Ekspedisi Merdeka Putera Bermotor Kuala Lumpur-Lumut yang membabitkan 8,000 peserta minggu lalu dilaporkan tercemar dengan beberapa insiden memalukan termasuk dakwaan kegiatan maksiat, minum arak, gaduh serta mencemarkan masjid.
Gelagat peserta yang tidak senonoh dan bercampur lelaki perempuan seperti yang berlaku di Lumut telah mendapat reaksi negatif masyarakat, kata Harussani.
Beliau mahu Putera Umno mengkaji semula cadangan mengadakan program perhimpunan Mat Rempit di Bukit Jalil itu dengan menggantikannya dengan program berbentuk lain yang memisahkan antara lelaki dan perempuan.
"Adalah lebih baik Putera Umno menganjurkan program motivasi atau perkhemahan membabitkan Mat Rempit, daripada mengadakan progam seperti yang diadakan di Lumut dan yang dirancangkan di Bukit Jalil itu," Malaysiakini memetik beliau.
Harussani berkata semua program yang dianjur melibatkan lelaki dan perempuan perlu diasingkan bagi mengelak maksiat.
"Adakan program motivasi dan yang penting pisahkan antara kumpulan lelaki dan perempuan... bukannya bercampur seperti yang diadakan sebelum ini (di Lumut)," katanya mengulas program Putera Umno itu yang mendapat pelbagai kritikan masyarakat.
Oleh itu, katanya, adalah lebih baik jika Putera Umno dapat menganjurkan program lain yang mudah dikawal sama ada bercorak perkhemahan, aktiviti lasak atau sukan bermotor.
"Pisahkan lelaki dan perempuan dan buat program motivasi, bina semangat jati diri, berdikari dan sebagainya. Jika adakan program agama, saya rasa majlis-majlis agama Islam tiada masalah untuk turut serta termasuk menyediakan penceramah," katanya.
"Kita mempunyai ramai pakar-pakar motivasi yang mempunyai perancangan dan tahu bagaimana mengendalikan golongan remaja," katanya.
Pengerusi Putera Umno Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim sebelum ini berkata pihaknya menyerahkan kepada polis untuk membuat keputusan berhubung cadangan program perhimpunan 50,000 mat rempit di Bukit Jalil.
Wed Sep 20, 06 07:30:58 PM
Oleh Harakahdaily

0 Comments:

Post a Comment

<< Home