Pemuda PAS Kluang

Wednesday, October 11, 2006

shah_id menulis "Suatu hari, Imam Al Ghozali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu Imam Al Ghozali bertanya, pertama,"Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini? ".

Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman, dan kerabatnya. Imam Ghozali menjelaskan semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah "Mati". Sebab itu sudah janji Allah SWT bahwa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Ali Imran 185)
Lalu Imam Ghozali meneruskan pertanyaan yang kedua. "Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?". Murid-muridnya ada yang menjawab negara Cina, bulan, matahari, dan bintang-bintang. Lalu Imam Ghozali menjelaskan bahwa semua jawaban yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah masa lalu. Bagaimanapun kita, apapun kendaraan kita, tetap kita tidak bisa kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.
Lalu Imam Ghozali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga. "Apa yang paling besar di dunia ini?".Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi, dan matahari. Semua jawaban itu benar kata Imam Ghozali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah "Nafsu" (Al A'Raf 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka.
Pertanyaan keempat adalah, "Apa yang paling berat di dunia ini?".Ada yang menjawab baja, besi, dan gajah. Semua jawaban sampean benar, kata Imam Ghozali, tapi yang paling berat adalah "memegang AMANAH" (Al Ahzab 72). Tumbuh-tumbuhan, binatang,gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi kalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT, sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka karena ia tidak bisa memegang amanahnya.
Pertanyaan yang kelima adalah, "Apa yang paling ringan di dunia ini?".Ada yang menjawab kapas, angin, debu, dan daun-daunan. Semua itu benar kata Imam Ghozali, tapi yang paling ringan di dunia ini adalah meninggalkan Solat. Gara-gara pekerjaan kita tinggalkan sholat, gara-gara meeting kita tinggalkan solat.
Lantas pertanyaan ke enam adalah, "Apakah yang paling tajam di dunia ini?".Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang. Benar kata Imam Ghozali, tapi yang paling tajam adalah "lidah manusia". Karena melalui lidah, Manusia dengan gampangnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri."
11-10-2006

Wednesday, October 04, 2006

MESTI BACA : Jika Musharraf boneka AS, Abdullah pula bagaimana?

Tue Oct 03, 06 02:28:53 PM
Harakahdaily
Oleh Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat
Saya tidak terkejut sedikit pun dengan pendedahan Musharraf dalam memoir terbarunya berjudul 'In The Line Of Fire'. Pertama, CIA telah menyogok berjuta-juta dolar untuk Pakistan memburu 369 suspek al-Qaeda dan kedua, ugutan ke atas Pakistan untuk bersedia dibom dan kembali ke zaman batu jika tidak mematuhi Amerika Syarikat.
Walaupun kedua-duanya cuba dinafikan bekas Timbalan Setiausaha Negara AS Richard Armitage tetapi inilah kemelut yang berlaku dalam momokan Islamfobia tajaan musuh-musuh Islam kontemporari.
Saya cuma terlintas, jika presiden Pakistan itu boleh diheret ke dalam keadaan tekanan yang semacam itu, apakah diluar kemungkinan untuk orang ramai turut berfikir yang jangan-jangan langkah menyekat bantuan perkapita kepada SAR, menahan sebahagian bekas-bekas graduan dari universiti-universiti Pakistan dan Timur Tengah di bawah ISA (termasuk anak saya) oleh Perdana Menteri Malaysia juga adalah akibat dari mematuhi telunjuk-telunjuk khianat dari Washington?
Jika Hamid Karzai adalah boneka mereka di Afghanistan dan Shinzo Abe adalah Perdana Menteri pro-AS yang baru dilantik di Jepun, maka tidak mustahilkah dasar-dasar anti terrorisme Malaysia juga adalah dirangka di Rumah Putih?
Ia adalah sekeping memo arahan dari botol dakwat jahat dari meja ketua polis dunia bernama George W Bush.
Bahkan, jika dibaca rentak Kuan Yew yang seakan-akan cuba mencampuri hal-hal dalaman di Malaysia dengan 'komen-komen nakal' seperti yang distilahkan oleh Najib Tun Razak dan turut dilihat 'menghina oleh Bambang Susilo' (Berita Harian 27 September 2006), komentar biadap Pope Benedict XVI ke atas junjungan Nabi kita SAW yang mengutip kutukan maharaja kristian di zaman Medieval sewaktu berucap di Regenburg University di Jerman pada 12 September yang lalu, propaganda hitam akhbar berpengaruh Perancis yang mendakwa Osama telah mati diserang typhoid serta Musharraf yang kononnya telah diguling adalah antara serangan-serangan gerak saraf yang tidak sukar difahami.
Berita yang terburai di Baitulmaqdis yang melaporkan halalnya dibunuh Hasan Nasrallah yang mengisytiharkan kemenangan Hizbullah dalam konflik 34 hari dengan Israel itu cukup menjelaskan lagi keadaan.
Berita arahan ini keluar dalam Radio Tentera (Galei Tzahal), yang memetik pengakuan bekas pengarah agensi perisikan Mossad, Shabtai Shavit sendiri. Beliau mengarahkan pembunuhan ke atas Nasrallah ketika sedang berucap di Selatan Beirut pada hujung minggu lalu.
Sekali-sekala, kita wajar menyentuh beberapa insiden dunia terkini supaya umat Islam khususnya dan seluruh warga Malaysia amnya mampu memahami peralihan jarum kompas yang ligat bergerak di peta bumi.
Road map dunia dan rentak masa depan umat tampak terlalu banyak dicatur dan diatur oleh AS dan sekutu-sekutunya.
Semua orang sudah semakin meragui kejujuran AS dan rakan-rakannya dalam peristiwa 9/11 di New York pada 2001. Bersifat degil demi mengukuh dan mengekalkan buruk sangka penghuni dunia terhadap Islam, FBI dan CIA masih mati-matian terus menerus menasihati Rumah Putih agar terus mengolah siri-siri keganasan palsu.
Ini boleh dibaca rentetannya dari serangan ke atas Iraq yang dituduh memiliki WMD sedangkan ia memang sebuah pembohongan.
Berita kononnya lima lelaki Pakistan telah memasuki AS melalui Kanada dan merancang untuk melakukan serangan senjata biologi dan bom-bom beracun adalah satu lagi percubaan mereka untuk melahirkan fitnah.
Ia terbongkar setelah suspek yang diburu oleh Associated Press misalnya; Mohammad Ashgar itu sebenarnya seorang lelaki gemuk yang menjalankan perniagaan barangan kemas di Pakistan dan tidak pernah sekalipun menjejakkan kaki ke Amerika!
Beliau tidak ada kena mengena dan tidak tahu menahu pun dengan insiden berdarah yang cuba ditekapkan kemukanya itu.
Terkini, AS mengarut lagi dengan sengaja mengada-adakan berita kemunculan pelbagai Nexus Points di pelbagai paksi dunia Islam.
Dengan itu, AS mahu munculkan dirinya sebagai predator yang sedang bertungkus lumus cuma menyelamatkan dunia dari serangan keganasan.
Tentu sekali kita masih ingat betapa 10 pesawat di Heathrow pernah diancam bom pada 10 Ogos 2006 oleh militan Islam (?) kemudian berjaya dipatahkan oleh seorang Superman. Tony Blair lah, siapa lagi!
Demikian jugalah dengan kononnya Sears Tower di Chicago yang telah diancam bom oleh proksi al-Qaeda yang kononnya dipimpin oleh Nasir Batiste diawal Jun 2006. Semuanya adalah bohong.
Nampak sangat yang AS dan UK sedang dengan ghairahnya ingin mengumumkan berita- demi berita kejayaannya kerana pantas menyekat huru-hara yang dicipta, dicetak dan dibuat-buat oleh mereka sendiri.
Sasaran akhir mereka ialah Islam dan pejuang Islam. Mereka lalu khayalkan bagaimana rakyat sedunia akan memuja dan mengangkat mereka sebagai wira suci dan sekali gus melihat Islam dan penganutnya sebagai terroris yang sehina sampah dan sejijik najis.
Ini boleh dilihat melalui cara layanan mereka terhadap pejuang Islam dipenjara tertutup Guantanamo dan Abu Gharib, Saddam yang pernah digari dari lubang persembunyian dan kini menggigil di mahkamah, Osama yang merempat terhina, hidup ceret beret di gua misteri, dua anak lelaki Saddam yang mati disembelih, penangkapan Al-Zarqawi, ratusan pemimpin Islam yang digari di Indonesia, Selatan Filipina, Palestin, Thailand, Acheh dan Bali.
Dalam plot cerita dan skrip-skrip drama kusut yang berlingkar-lingkar itulah, Islam mahu diconteng semahu-mahunya dengan jambang terroris.
Jika tidak, masakan Bush menghubungkan terus peristwa memerangi keganasan dengan Perang Salib sejurus selepas menara WTC di New York itu di bom. Dendam kristian yang tidak sudah-sudah itulah juga rupanya yang sedang menyimbah darah umat Islam di mana-mana.
Ancaman AS berbunyi 'sama ada kamu bersama kami atau kamu bersama mereka' sesungguhnya bukan ultimatum yang adil untuk dipilih oleh warga dunia. Bukan begitu caranya mencari perdamaian. Mustahil AS tidak faham bagaimana seharusnya PBB itu berfungsi?
Saya hanya ada satu soalan pendek untuk bertanya. Malaysia sedang berada di mana dalam membina dasar luarnya dan sewaktu memilih rakan kongsi?
Bersama mereka yang menjadi mangsa keganasan atau berpihak kepada pihak yang mengganas? Lagipun, maksud ganas, mengganas, pengganas dan mangsa keganasan itu apa sebenarnya?
Sentiasa ingatlah bahawa Allah SWT itu mampu membaca segala niat kita walau bagaimana nyata atau sulitnya ia di sembunyi. Dan, inilah yang akan menentukan nilai amal kita yang sebenar. Bukankah kita semua akan berdiri di padang mahsyar untuk nantinya di tanya ?
"Jika mereka mendustakan kamu,maka sesungguhnya rasul-rasul sebelum kamupun telah di dustakan (pula) mereka membawa mukjizat-mukjizat yang nyata ,zabur dan kitab yang memberi penjelasan yang sempurna." (Surah Al- 'Imran Ayat 184).

(Penulis adalah Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan) - mr