Pemuda PAS Kluang

Sunday, February 04, 2007

KISAH BENAR

Sebuah kisah yang disalin dari www.ladang.net.my
Saya ingin bercerita mengenai kisah adik saya, Nur Annisa, seorang gadis yang baru menginjak dewasa tetapi agak kasar dan suka berkelakuan seperti lelaki. Ketika usianya mencecah 17 tahun perkembangan tingkah lakunya benar-benar membimbangkan ibu.Dia sering membawa teman-teman lelakinya pulang ke rumah. Situasi ini menyebabkan ibu tidak senang tambahan pula ibu merupakan guru al-Quran.
Bagi mengelakkan pergaulan yang terlalu bebas, ibu telah meminta adik memakai tudung. Permintaan ibu itu ditolaknya sehingga seringkali berlaku pertengkaran-pertengkaran kecil antara mereka.Pernah pada suatu masa, adik berkata dengan suara yang agak keras, " cuba mama tengok, jiran-jiran kita pun ada yang anaknya pakai tudung, tapi perangainya sama je macam orang yang tak pakai tudung. Sampai kawan-kawan annisa kat sekolah, yang pakai tudung pun selalu keluar dating dengan boyfriend diorang, pegang-pegang tangan. Ani ni, walaupun tak pakai tudung, tak pernah buat macam tu!"
Pada satu hari ada jiran yang baru pindah berhampiran rumah kami. Sebuah keluarga yang mempunyai enam orang anak yang masih kecil. Suaminya bernama Abu khoiri, (nama sebenarnya siapa, tak dapat dipastikan). Saya mengenalinya sewaktu di masjid. Setelah beberapa lama mereka tinggal berhampiran rumah kami, timbul desas-desus mengenai isteri Abu Khoiri yang tidak pernah keluar rumah, hingga ada yang menggelarnya si buta, bisu dan tuli.Perkara ini telah sampai ke pengetahuan adik.Dia bertanya kepada saya, "abang, betul ke orang yang baru pindah itu, isterinya buta, bisu dan tuli?" Lalu saya menjawab sambil lewa, "kalau nak tau sangat, pergi rumah mereka, tanya sendiri" Rupa-rupanya adik mengambil serius kata-kata saya dan benar-benar pergi ke rumah Abu Khoiri.
Sekembalinya dari rumah mereka, saya melihat perubahan yang benar-benar mendadak berlaku pada wajah adik. Wajahnya yang tak pernah muram atau lesu menjadi pucat lesi......entah apa yang dah berlaku?Namun, selang dua hari kemudian, dia minta ibu buatkan tudung. Tudung yang labuh. Adik pakai baju labuh...... lengan panjang pula tu...saya sendiri jadi bingung..bingung campur syukur kepada Allah SWT kerana saya melihat perubahan yang ajaib..ya, saya kata kan ajaib kerana dia berubah seratus peratus!Tiada lagi anak-anak muda atau teman-teman wanitanya yang datang ke rumah hanya untuk bercakap perkara-perkara yang tidak tentu arah... saya lihat, dia banyak merenung, banyak baca majalah Islam (biasanya dia suka beli majalah hiburan), dan saya lihat ibadahnya pun melebihi saya sendiri..tak ketinggalan tahajudnya, baca Qur'annya, solat sunat nya..dan yang lebih menakjubkan lagi, bila kawan-kawan saya datang, dia menundukkan pandangan..Segala puji bagi Engkau wahai Allah, jerit hati saya..Tidak lama kemudian, saya mendapat panggilan untuk bekerja di kalimantan, kerja di satu perusahaan minyak CALTEX. Dua bulan saya bekerja di sana, saya mendapat khabar bahawa adik sakit tenat hingga ibu memanggil saya pulang ke rumah ( rumah saya di Madiun). Dalam perjalanan, saya tak henti-henti berdoa kepada Allah SWT agar adik diberi kesembuhan, hanya itu yang mampu saya usahakan.
Ketika saya sampai di rumah..didepan pintu sudah ramai orang..hati berdebar-debar, tak dapat ditahan.....saya berlari masuk ke dalam rumah..saya lihat ibu menangis .. saya segera menghampiri ibu lantas memeluknya........dalam esak tangisnya ibu memberitahu, "Dhi, adik boleh mengucapkan kalimat Syahadah diakhir hidupnya"..air mata ini tak dapat ditahan lagi...Setelah selesai upacara pengkebumian dan lain-lainnya, saya masuk ke bilik adik. Saya lihat di atas mejanya terletak sebuah diari. Diari yang selalu adik tulis. Diari tempat adik menghabiskan waktunya sebelum tidur semasa hayatnya. Kemudian diari itu saya buka sehelai demi sehelai...hingga sampai pada satu halaman yang menguakmisteri dan pertanyaan yang selalu timbul di hati ini. Perubahan yang terjadi ketika adik baru pulang dari rumah Abu khoiri..disitu tertera soal jawab antara adik dan isteri jiran kami itu. Butirannya seperti ini: Soaljawab (saya lihat di lembaran itu terdapat banyak bekas airmata)
Annisa: aku hairan, wajah wanita ini cerah dan bersinar seperti bidadari "mak cik.. wajah mak cik sangat muda dan cantik"
Isteri jiranku: Alhamdulillah ..sesungguhnya kecantikan itu datang dari lubuk hati
Annisa: tapi mak cik kan dah ada anak enam ..tapi masih kelihatan cantik??
Isteri jiranku: Subhanallah..sesungguhnya keindahan itu milik Allah SWT. Dan bila Allah SWT berkehendak..siapakah yang boleh menolaknya?
Annisa: Mak Cik..selama ini ibu saya selalu menyuruh saya memakai tudung..tapi saya selalu menolak kerana saya rasa tak ada masalah kalau saya tak pakai tudung asalkan saya berkelakuan baik.Saya tengok, banyak wanita yang pakai tudung tapi kelakuannya melebihi kami yang tak pakai..sampaikan saya tak pernah rasa nak pakai tudung.. pendapat makcik bagaimana?
Isteri jiranku: Annisa, sesungguhnya Allah SWT menjadikan seluruh tubuh wanita ini perhiasan dari hujung rambut hingga hujung kaki, segala sesuatu dari tubuh kita yang terlihat oleh bukan muhrim kita semuanya akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah SWT nanti dan tudung adalah perlindungan untuk wanita ..
Annisa: tapi yang saya tengok, banyak wanita bertudung yang kelakuannya tak elok..
Isteri jiranku: Tudung hanyalah kain, tapi hakikat atau makna disebalik tudung itu sendiri yang harus kita fahami...
Annisa: apakah hakikat tudung ?
Isteri jiranku : Hakikat tudung adalah perlindungan zahir batin, lindungi mata kamu dari memandang lelaki yang bukan muhram kamu, lindungi lidah kamu dari mengumpat orang dan bercakap perkara yang sia-sia .. sentiasalah lazimi lidah dengan zikir kepada Allah SWT, lindungi telinga kamu dari mendengar perkara yang mengundang mudharat baik untuk dirimu mahupun masyarakat, lindungi hidungmu dari mencium segala yang berbau busuk, lindungi tangan-tangan kamu dari berbuat sesuatu yang tidak senonoh, lindungi kaki kamu dari melangkah menuju maksiat, lindungi fikiran kamu dari berfikir perkara yang mengundang syaitan untuk memperdayai nafsu kamu, lindungi hati kamu dari sesuatu selain Allah SWT, bila kamu sudah biasa, maka tudung yang kamu pakai akan menyinari hati kamu.. itulah hakikat tudung..
Annisa: mak cik, sekarang saya sudah jelas tentang erti tudung... mudah mudahan saya mampu pakai tudung. Tapi, macam mana saya nak buat semua tu?
Isteri jiranku: Duhai nisa, bila kamu memakai tudung, itulah kurniaan dan rahmat yang datang dari Allah SWT yang Maha Pemberi Rahmat , bila kamu mensyukuri rahmat itu, kamu akan diberi kekuatan untuk melaksanakan amalan-amalan 'tudung' hingga mencapai kesempurnaan yang diinginkan Allah SWT. Duhai nisa .ingatlah akan satu hari dimana seluruh manusia akan dibangkitkan..ketika ditiup sangkakala yang kedua, .pada saat roh-roh manusia seperti anai-anai yang bertebaran dan dikumpulkan dalam satu padang yang tiada batas, yang tanahnya dari logam yang panas, tiada rumput mahupun tumbuhan, ketika tujuh matahari didekatkan di atas kepala kita namun keadaan gelap gelita, ketika seluruh manusia ketakutan, ketika ibu tidak mempedulikan anaknya, anak tidak mempedulikan ibunya, sanak-saudara tidak kenal satu sama lain lagi, antara satu sama lain boleh menjadi musuh lantaran satu kebaikan lebih berharga dari segala sesuatu yang ada di alam ini, ketika manusia berbaris dengan barisan yang panjang dan masing masing hanya mempedulikan nasib dirinya, dan pada saat itu ada yang berpeluh kerana rasa takut yang luar biasa hingga tenggelam dirinya akibat peluh yang banyak, dan bermacam macam rupa-rupa bentuk manusia yang tergantung amalannya, ada yang melihat ketika hidupnya namun buta ketika dibangkitkan, ada yang berbentuk seperti haiwan, ada yang berbentuk seperti syaitan, semuanya menangis..menangis kerana hari itu Allah SWT murka.. belum pernah Allah SWT murka sebelum dan sesudah hari itu.Hingga ribuan tahun manusia dibiarkan Allah SWT dipadang mahsyar yang panas membara hinggalah sampai ke Timbangan Mizan. Hari itulah dipanggil hari Hisab..Duhai Annisa, bila kita tidak berusaha untuk beramal pada hari ini, entah dengan apa nanti kita akan menjawab bila kita ditanya oleh Yang Maha Perkasa, Yang Maha Besar, Yang Maha Kuat, Yang Maha Agung. . . .Allah SWT. Sampai di sini sahaja kisah itu saya baca kerana di sini tulisannya terhenti dan saya lihat banyak titisan airmata yang jatuh dari pelupuk matanya..Subhanallah ...Saya selak halaman berikutnya dan saya lihat tertera tulisan kecil dibawah tulisan itu "buta, tuli dan bisu.." wanita yang tidak pernah melihat lelaki selain muhrimnya, wanita yang tidak pernah mahu mendengar perkara yang dapat mengundang murka Allah SWT, wanita tidak pernah berbicara ghibah dan segala sesuatu yang mengundang dosa dan sia sia.. "Tak tahan airmata ini pun jatuh".
Semoga Allah SWT menerima adikku disisinya.. Amin..
Subhanallah
saya harap cerita ini boleh menjadi iktibar bagi kita semua.
Wassalam...

Thursday, December 28, 2006

Gempa di Taiwan Jejas Internet

Oleh Zainab Yatim dan Hanneeyzah Bariah Baharin

Gegaran di barat daya Taiwan rosakkan kabel dasar laut APCN2

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan internet antarabangsa termasuk di Malaysia mengalami gangguan teruk apabila kabel dasar laut Asia Pasifik Rangkaian 2 (APCN2) terputus ekoran gempa bumi di barat daya Taiwan, kelmarin.
Berikutan itu, lebih 3.8 juta pelanggan internet di negara ini mengalami kesukaran melayari laman web yang berpangkalan di luar negara, terutama Amerika Syarikat (AS), Jepun, China, Taiwan, Korea Selatan dan Eropah.Kerosakan kabel di persisiran pantai selatan Taiwan itu turut mengganggu 98 peratus daripada kapasiti perkhidmatan telefon kepulauan itu dengan Malaysia, Singapura, Thailand dan Hong Kong.
Telekom Malaysia Bhd (TM), dalam kenyataan semalam berkata gempa bumi di Taiwan itu mengakibatkan kerosakan sistem kabel dasar laut termasuk APCN, APCN2, SEA-ME-WE3, CUCN dan FLAG.
Kerosakan itu menyebabkan perkhidmatan panggilan antarabangsa ke Taiwan, Jepun, China, Hong Kong, Korea dan Amerika Syarikat terjejas. “TM sedang bekerjasama dengan ahli konsortium untuk melaksanakan kerja membaik pulih. Bagaimanapun, setakat ini, konsortium masih tidak dapat menentukan tempoh masa untuk perkhidmatan pulih sepenuhnya,” katanya.Syarikat itu menasihatkan pelanggan yang ingin membuat panggilan antarabangsa supaya menghubungi perkhidmatan bantuan operator TM di talian 101.
TM Net Sdn Bhd pula memaklumkan, perkhidmatan internetnya mengalami gangguan prestasi berikutan sambungan talian sesak dan melampau di beberapa jaringan internet antarabangsa semalam.Dalam kenyataannya, syarikat itu berkata ia sudah mengambil tindakan segera dengan mengalih laluan trafik ke jaringan sokongan lain bagi mengurangkan kesesakan.“Pengguna internet di Malaysia dan bahagian lain di negara ini mungkin mengalami sedikit penangguhan dalam mengakses kandungan laman web berpangkalan di luar negara, terutama di AS, Jepun, China, Taiwan, Korea Selatan dan Eropah,” katanya.
TM Net menjelaskan, gempa bumi berukuran 6.7 pada skala Richter di pantai selatan Taiwan malam kelmarin menyebabkan gangguan pada kabel APCN2 antara Shantou, China dan Tanshui, Taiwan serta Lantau, Hong Kong dan Chongming, China.“Ia menyebabkan sambungan internet yang melampau pada talian internet TM Net International secara sambungan transit atau pemula, terutama ke negara yang disebutkan,” katanya.Pelanggan boleh menghubungi Pusat Interaksi Pelanggan TM Net di 1-300-88-9515 (24 jam) atau 1-300-88-1515 dari 8 pagi hingga tengah malam atau e-mel ke custcare@tm.net.my untuk pertanyaan lanjut.
JARING Communications Sdn Bhd pula berkata talian antarabangsa syarikat itu turut terjejas bermula jam 3.46 pagi semalam dan ia sedang berurusan dengan pihak pembekal talian antarabangsa untuk menyegerakan proses membaik pulih. “Bagaimanapun, jangka masa proses untuk mengembalikan operasi talian itu tidak dapat ditentukan lagi,” kata Pusat Operasi Rangkaian JARING dalam kenyataan di laman webnya.Gangguan perkhidmatan internet juga menyebabkan sebahagian besar pengusaha kafe siber menutup perniagaan, manakala pengguna internet syarikat korporat gagal menghantar emel atau melayari laman web.
Ketua Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Adelina Iskandar, ketika dihubungi berkata, pihaknya meningkatkan pemantauan dan menunggu laporan TM Net dan JARING sebelum mengambil tindakan lanjut. TM Net mempunyai 2.85 juta pelanggan manakala JARING lebih sejuta.Gempa bumi di pantai bandar Hengchun berhampiran selatan Taiwan itu berlaku pada hari ulang tahun kedua bencana tsunami yang meragut lebih 200,000 nyawa di selatan Asia.
Dalam kejadian kelmarin, dua sekeluarga dilaporkan maut apabila rumah mereka di bangunan empat tingkat runtuh manakala enam sekeluarga diselamatkan awal semalam.Sementara itu, agensi berita AFP memetik penganalisis sebagai berkata, sistem telekomunikasi antarabangsa ketika ini menggunakan kabel dasar laut yang menyambungkan rangkaian hubungan antara negara di seluruh dunia bernilai berbilion dolar.Penganalisis telekomunikasi bebas, Paul Budde berkata, laporan awal mendapati kabel dasar laut itu ditanam sejak 150 tahun lalu untuk penghantaran telegram dan kini berkembang sebagai talian internet bagi menepati kehendak teknologi semasa.
Di TAIPEI, Naib Pengurus Besar Chunghwa Telecom Co, Lin Jen-hung.Syarikat telefon terbesar Taiwan itu berkata, kerosakan kabel itu menyebabkan talian telefon dan perkhidmatan internet terganggu ke beberapa bahagian di China, Korea Selatan, Jepun, Asia Tenggara dan AS.Beliau yang dipetik AP berkata, usaha memperbaiki kabel itu mengambil masa sehingga tiga minggu tetapi ‘kualiti akan bertambah baik dari sehari ke sehari.Syarikat telefon terbesar Taiwan itu berkata, kerosakan pada kabel di persisiran pantai selatan Taiwan itu turut menjejaskan perkhidmatan internet bagi sebahagian pengguna di Hong Kong yang tidak boleh melayari laman web di sebahagian kawasan di Asia dan AS.
Syarikat telefon Hong Kong, PCCW Ltd, yang turut menyediakan perkhidmatan internet, berkata beberapa kabel data di bawah laut rosak dalam gempa bumi itu.“Perjalanan data ke Taiwan, Korea, Jepun dan AS terjejas,” kata PCCW dalam satu kenyataan.Syarikat berkenaan juga memberi amaran kepada pengguna bahawa mereka mungkin mengalami kesesakan selama beberapa hari di internet kerana peningkatan penggunaan oleh ramai orang yang melayari laman web untuk mendapatkan maklumat mengenai gempa bumi itu.
Pedagang mata wang di Hong Kong - salah satu pusat perniagaan terbesar Asia, mengadu mereka hilang hubungan dengan Bloomberg LP, pembekal utama berita dan data mengenai pasaran saham.Internet terputus atau amat lembap di Beijing, kata pegawai dari China Netcom, syarikat telefon kedua terbesar di China.Perniagaan di beberapa bahagian lain bandar raya itu juga mengalami masalah melayari internet manakala rangkaian televisyen kerajaan, CCTV, melaporkan gempa bumi itu merosakkan kabel komunikasi bawah laut dari China ke AS dan dari Asia ke Eropah.Ia berkata, syarikat telefon terbesar China, China Telecom Corp, menghubungi syarikat sejawatnya di AS dan Eropah untuk mencadangkan penggunaan satelit.
28/12/2006

Sunday, December 24, 2006


PASTI Al Ukhuwwah Kluang

Pendaftaran bagi sesi persekolahan 2007 akan dibuka pada hari Selasa 26 Disember 2006.

Untuk sebarang maklumat pendaftaran sila hubungi,

Sdr Nizahullail bin Omar
Pengerusi PASTI Kluang : 013 7751328

Sdr Khairul Anuar bin Ahmad Kamil
Setiausaha PASTI Kluang : 019 7762766

Wednesday, October 11, 2006

shah_id menulis "Suatu hari, Imam Al Ghozali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu Imam Al Ghozali bertanya, pertama,"Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini? ".

Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman, dan kerabatnya. Imam Ghozali menjelaskan semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah "Mati". Sebab itu sudah janji Allah SWT bahwa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Ali Imran 185)
Lalu Imam Ghozali meneruskan pertanyaan yang kedua. "Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?". Murid-muridnya ada yang menjawab negara Cina, bulan, matahari, dan bintang-bintang. Lalu Imam Ghozali menjelaskan bahwa semua jawaban yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah masa lalu. Bagaimanapun kita, apapun kendaraan kita, tetap kita tidak bisa kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.
Lalu Imam Ghozali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga. "Apa yang paling besar di dunia ini?".Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi, dan matahari. Semua jawaban itu benar kata Imam Ghozali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah "Nafsu" (Al A'Raf 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka.
Pertanyaan keempat adalah, "Apa yang paling berat di dunia ini?".Ada yang menjawab baja, besi, dan gajah. Semua jawaban sampean benar, kata Imam Ghozali, tapi yang paling berat adalah "memegang AMANAH" (Al Ahzab 72). Tumbuh-tumbuhan, binatang,gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi kalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT, sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka karena ia tidak bisa memegang amanahnya.
Pertanyaan yang kelima adalah, "Apa yang paling ringan di dunia ini?".Ada yang menjawab kapas, angin, debu, dan daun-daunan. Semua itu benar kata Imam Ghozali, tapi yang paling ringan di dunia ini adalah meninggalkan Solat. Gara-gara pekerjaan kita tinggalkan sholat, gara-gara meeting kita tinggalkan solat.
Lantas pertanyaan ke enam adalah, "Apakah yang paling tajam di dunia ini?".Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang. Benar kata Imam Ghozali, tapi yang paling tajam adalah "lidah manusia". Karena melalui lidah, Manusia dengan gampangnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri."
11-10-2006

Wednesday, October 04, 2006

MESTI BACA : Jika Musharraf boneka AS, Abdullah pula bagaimana?

Tue Oct 03, 06 02:28:53 PM
Harakahdaily
Oleh Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat
Saya tidak terkejut sedikit pun dengan pendedahan Musharraf dalam memoir terbarunya berjudul 'In The Line Of Fire'. Pertama, CIA telah menyogok berjuta-juta dolar untuk Pakistan memburu 369 suspek al-Qaeda dan kedua, ugutan ke atas Pakistan untuk bersedia dibom dan kembali ke zaman batu jika tidak mematuhi Amerika Syarikat.
Walaupun kedua-duanya cuba dinafikan bekas Timbalan Setiausaha Negara AS Richard Armitage tetapi inilah kemelut yang berlaku dalam momokan Islamfobia tajaan musuh-musuh Islam kontemporari.
Saya cuma terlintas, jika presiden Pakistan itu boleh diheret ke dalam keadaan tekanan yang semacam itu, apakah diluar kemungkinan untuk orang ramai turut berfikir yang jangan-jangan langkah menyekat bantuan perkapita kepada SAR, menahan sebahagian bekas-bekas graduan dari universiti-universiti Pakistan dan Timur Tengah di bawah ISA (termasuk anak saya) oleh Perdana Menteri Malaysia juga adalah akibat dari mematuhi telunjuk-telunjuk khianat dari Washington?
Jika Hamid Karzai adalah boneka mereka di Afghanistan dan Shinzo Abe adalah Perdana Menteri pro-AS yang baru dilantik di Jepun, maka tidak mustahilkah dasar-dasar anti terrorisme Malaysia juga adalah dirangka di Rumah Putih?
Ia adalah sekeping memo arahan dari botol dakwat jahat dari meja ketua polis dunia bernama George W Bush.
Bahkan, jika dibaca rentak Kuan Yew yang seakan-akan cuba mencampuri hal-hal dalaman di Malaysia dengan 'komen-komen nakal' seperti yang distilahkan oleh Najib Tun Razak dan turut dilihat 'menghina oleh Bambang Susilo' (Berita Harian 27 September 2006), komentar biadap Pope Benedict XVI ke atas junjungan Nabi kita SAW yang mengutip kutukan maharaja kristian di zaman Medieval sewaktu berucap di Regenburg University di Jerman pada 12 September yang lalu, propaganda hitam akhbar berpengaruh Perancis yang mendakwa Osama telah mati diserang typhoid serta Musharraf yang kononnya telah diguling adalah antara serangan-serangan gerak saraf yang tidak sukar difahami.
Berita yang terburai di Baitulmaqdis yang melaporkan halalnya dibunuh Hasan Nasrallah yang mengisytiharkan kemenangan Hizbullah dalam konflik 34 hari dengan Israel itu cukup menjelaskan lagi keadaan.
Berita arahan ini keluar dalam Radio Tentera (Galei Tzahal), yang memetik pengakuan bekas pengarah agensi perisikan Mossad, Shabtai Shavit sendiri. Beliau mengarahkan pembunuhan ke atas Nasrallah ketika sedang berucap di Selatan Beirut pada hujung minggu lalu.
Sekali-sekala, kita wajar menyentuh beberapa insiden dunia terkini supaya umat Islam khususnya dan seluruh warga Malaysia amnya mampu memahami peralihan jarum kompas yang ligat bergerak di peta bumi.
Road map dunia dan rentak masa depan umat tampak terlalu banyak dicatur dan diatur oleh AS dan sekutu-sekutunya.
Semua orang sudah semakin meragui kejujuran AS dan rakan-rakannya dalam peristiwa 9/11 di New York pada 2001. Bersifat degil demi mengukuh dan mengekalkan buruk sangka penghuni dunia terhadap Islam, FBI dan CIA masih mati-matian terus menerus menasihati Rumah Putih agar terus mengolah siri-siri keganasan palsu.
Ini boleh dibaca rentetannya dari serangan ke atas Iraq yang dituduh memiliki WMD sedangkan ia memang sebuah pembohongan.
Berita kononnya lima lelaki Pakistan telah memasuki AS melalui Kanada dan merancang untuk melakukan serangan senjata biologi dan bom-bom beracun adalah satu lagi percubaan mereka untuk melahirkan fitnah.
Ia terbongkar setelah suspek yang diburu oleh Associated Press misalnya; Mohammad Ashgar itu sebenarnya seorang lelaki gemuk yang menjalankan perniagaan barangan kemas di Pakistan dan tidak pernah sekalipun menjejakkan kaki ke Amerika!
Beliau tidak ada kena mengena dan tidak tahu menahu pun dengan insiden berdarah yang cuba ditekapkan kemukanya itu.
Terkini, AS mengarut lagi dengan sengaja mengada-adakan berita kemunculan pelbagai Nexus Points di pelbagai paksi dunia Islam.
Dengan itu, AS mahu munculkan dirinya sebagai predator yang sedang bertungkus lumus cuma menyelamatkan dunia dari serangan keganasan.
Tentu sekali kita masih ingat betapa 10 pesawat di Heathrow pernah diancam bom pada 10 Ogos 2006 oleh militan Islam (?) kemudian berjaya dipatahkan oleh seorang Superman. Tony Blair lah, siapa lagi!
Demikian jugalah dengan kononnya Sears Tower di Chicago yang telah diancam bom oleh proksi al-Qaeda yang kononnya dipimpin oleh Nasir Batiste diawal Jun 2006. Semuanya adalah bohong.
Nampak sangat yang AS dan UK sedang dengan ghairahnya ingin mengumumkan berita- demi berita kejayaannya kerana pantas menyekat huru-hara yang dicipta, dicetak dan dibuat-buat oleh mereka sendiri.
Sasaran akhir mereka ialah Islam dan pejuang Islam. Mereka lalu khayalkan bagaimana rakyat sedunia akan memuja dan mengangkat mereka sebagai wira suci dan sekali gus melihat Islam dan penganutnya sebagai terroris yang sehina sampah dan sejijik najis.
Ini boleh dilihat melalui cara layanan mereka terhadap pejuang Islam dipenjara tertutup Guantanamo dan Abu Gharib, Saddam yang pernah digari dari lubang persembunyian dan kini menggigil di mahkamah, Osama yang merempat terhina, hidup ceret beret di gua misteri, dua anak lelaki Saddam yang mati disembelih, penangkapan Al-Zarqawi, ratusan pemimpin Islam yang digari di Indonesia, Selatan Filipina, Palestin, Thailand, Acheh dan Bali.
Dalam plot cerita dan skrip-skrip drama kusut yang berlingkar-lingkar itulah, Islam mahu diconteng semahu-mahunya dengan jambang terroris.
Jika tidak, masakan Bush menghubungkan terus peristwa memerangi keganasan dengan Perang Salib sejurus selepas menara WTC di New York itu di bom. Dendam kristian yang tidak sudah-sudah itulah juga rupanya yang sedang menyimbah darah umat Islam di mana-mana.
Ancaman AS berbunyi 'sama ada kamu bersama kami atau kamu bersama mereka' sesungguhnya bukan ultimatum yang adil untuk dipilih oleh warga dunia. Bukan begitu caranya mencari perdamaian. Mustahil AS tidak faham bagaimana seharusnya PBB itu berfungsi?
Saya hanya ada satu soalan pendek untuk bertanya. Malaysia sedang berada di mana dalam membina dasar luarnya dan sewaktu memilih rakan kongsi?
Bersama mereka yang menjadi mangsa keganasan atau berpihak kepada pihak yang mengganas? Lagipun, maksud ganas, mengganas, pengganas dan mangsa keganasan itu apa sebenarnya?
Sentiasa ingatlah bahawa Allah SWT itu mampu membaca segala niat kita walau bagaimana nyata atau sulitnya ia di sembunyi. Dan, inilah yang akan menentukan nilai amal kita yang sebenar. Bukankah kita semua akan berdiri di padang mahsyar untuk nantinya di tanya ?
"Jika mereka mendustakan kamu,maka sesungguhnya rasul-rasul sebelum kamupun telah di dustakan (pula) mereka membawa mukjizat-mukjizat yang nyata ,zabur dan kitab yang memberi penjelasan yang sempurna." (Surah Al- 'Imran Ayat 184).

(Penulis adalah Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan) - mr

Monday, September 25, 2006

Umat Islam & Arab Bantu Israel !

amaljadd menulis " Beberapa syarikat gergasi di Eropa dan Amerika mengumumkan gerakan pengumpulan dana untuk membantu negara teroris Israel selepas kekalahan perang Lebanon baru-baru ini. Malah kerajaan Amerika mengeluarkan arahan akan mengambil tindakan terhadap mana - mana pihak yang memboikot produk Israel. Syarikat Philip Morris, pengeluar rokok Marlboro dan lain-lain. membantu Israel dengan tema “ Partisipasi demi menegakkan dan menyelamatkan Israel”. Perusahaan ini meyumbangkan sekurang-kurangnya 12 % dari keuntungannya setiap hari untuk Israel.Di samping itu, Howard Shultz, CEO Star Bucks, pengeluar minuman kopi bertaraf internasional menyatakan pihaknya akan melipat gandakan bantuannya untuk Israel dalam rangka menghancurkan Hezbollah.
Syarikat ini juga menyumbangkan jutaan dollar setiap tahun untuk mendukung tindakan ganas Israel di Palestine. Selain daripada dua syarikat tersebut tadi, banyak perusahaan internasional lain yang membantu Israel jutaan dollar setiap tahun. Seperti syarikat-syarikat pengeluar rokok RJR, BAT, JT , syarikat - syarikat makanan : Mc Donald, Burger King, KFC, Pizza Hut, Coca-Cola, Pepsi, Restoran Chillis Amerika dan lain-lain.Perusahaan-perusahaan tadi hampir semuanya mempunyai cawangan di negara-negara Arab dan Umat Islam. Walaupun gesaan untuk memboikot produk Israel & Amerika hebat dilakukan, ternyata respon dari masyarakat Arab dan Islam masih minima.
Fatwa berhubung dengan wajib memboikot barangan Israel - Amerika telah dikeluarkan oleh lebih daripada 70 orang ulama pelbagai negara umat Islam termasuk Dr. Yusuf Qardhawi. Hingga kini perusahaan-perusahaan tersebut masih mengaut keuntungan yang besar dari Umat Islam. Maka tidak hairan jika kebanyakan kaum muslimin pun ikut membantu tegaknya negara teroris Israel untuk terus membantai Umat Islam.y "

Thursday, September 21, 2006

Program Putera Umno akibatkan maksiat - Mufti Perak

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Hrkh) - Program perhimpunan 50,000 Mat Rempit di Bukit Jalil yang akan diadakan oleh Putera Umno tidak sesuai dianjurkan kerana ia mendatangkan banyak masalah termasuk maksiat dan gejala tidak senonoh, kata Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria.

Malaysiakini melaporkan beliau berkata, program berkumpulan melibatkan lelaki dan perempuan terutama golongan remaja seperti mat rempit memang tidak sesuai dianjurkan.
Ekspedisi Merdeka Putera Bermotor Kuala Lumpur-Lumut yang membabitkan 8,000 peserta minggu lalu dilaporkan tercemar dengan beberapa insiden memalukan termasuk dakwaan kegiatan maksiat, minum arak, gaduh serta mencemarkan masjid.
Gelagat peserta yang tidak senonoh dan bercampur lelaki perempuan seperti yang berlaku di Lumut telah mendapat reaksi negatif masyarakat, kata Harussani.
Beliau mahu Putera Umno mengkaji semula cadangan mengadakan program perhimpunan Mat Rempit di Bukit Jalil itu dengan menggantikannya dengan program berbentuk lain yang memisahkan antara lelaki dan perempuan.
"Adalah lebih baik Putera Umno menganjurkan program motivasi atau perkhemahan membabitkan Mat Rempit, daripada mengadakan progam seperti yang diadakan di Lumut dan yang dirancangkan di Bukit Jalil itu," Malaysiakini memetik beliau.
Harussani berkata semua program yang dianjur melibatkan lelaki dan perempuan perlu diasingkan bagi mengelak maksiat.
"Adakan program motivasi dan yang penting pisahkan antara kumpulan lelaki dan perempuan... bukannya bercampur seperti yang diadakan sebelum ini (di Lumut)," katanya mengulas program Putera Umno itu yang mendapat pelbagai kritikan masyarakat.
Oleh itu, katanya, adalah lebih baik jika Putera Umno dapat menganjurkan program lain yang mudah dikawal sama ada bercorak perkhemahan, aktiviti lasak atau sukan bermotor.
"Pisahkan lelaki dan perempuan dan buat program motivasi, bina semangat jati diri, berdikari dan sebagainya. Jika adakan program agama, saya rasa majlis-majlis agama Islam tiada masalah untuk turut serta termasuk menyediakan penceramah," katanya.
"Kita mempunyai ramai pakar-pakar motivasi yang mempunyai perancangan dan tahu bagaimana mengendalikan golongan remaja," katanya.
Pengerusi Putera Umno Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim sebelum ini berkata pihaknya menyerahkan kepada polis untuk membuat keputusan berhubung cadangan program perhimpunan 50,000 mat rempit di Bukit Jalil.
Wed Sep 20, 06 07:30:58 PM
Oleh Harakahdaily